Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Saban hari, angka kematian di negara kita kian bertambah akibat wabak virus H1N1. Sebagai seorang Perunding Kewangan, aku pada mulanya dulu agak kecewa bila H1N1 dikatakan tidak dapat dilindungi seperti mana yang terkandung di dalam polisi insurans.
Alhamdulillah, akhirnya kenyataan H1N1 turut dilindungi sedikit sebanyak membawa khabar gembira buat pemegang-pemegang polisi.
"Meskipun majoriti polisi perubatan tidak memasukkan penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantina oleh undang-undang, syarikat insurans hayat bertindak kepada keperluan mendesak negara berikutan peningkatan jumlah mereka yang dijangkiti wabak itu," menurut kenyataan LIAM di Kuala Lumpur semalam.
Menurut LIAM, syarikat insurans akan terus memantau situasi dan akan memaklumkan kepada pemegang polisi sebarang perubahan keputusan.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata perlindungan dan polisi kesihatan berbeza antara satu syarikat dengan syarikat lain.
"Ia bergantung kepada syarikat berkenaan sama ada mahu memasukkan Influenza A(H1N1) dalam polisi mereka. Kami tidak boleh memaksa mereka mengubah polisi," kata penasihat teknikal PIAM Tan Eng Leong kepada Bernama.
Menurut laman web PIAM, polisi kesihatan umumnya tidak mengecualikan rawatan kemasukkan ke hospital bagi jangkitan atau penyakit berjangkit seperti H1N1.
"Namun, beberapa polisi ada menyatakan pengecualian perlindungan bagi penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantina mengikut undang-undang.
Ini bermakna jika H1N1 diklasifikasikan sebagai satu penyakit berjangkit memerlukan kuarantina oleh undang-undang Malaysia, maka polisi sedemikian tidak meliputi perlindungan seperti perbelanjaan perubatan," kata beliau.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr David Quek Kwang Leng meminta syarikat insurans supaya lebih bermurah hati dan lebih memahami krisis seumpamanya.
"Kami menghadapi beberapa masalah dengan syarikat insurans kesihatan. Ini terutamanya berhubung kes-kes di hospital swasta di mana banyak syarikat insurans enggan membayar semula rawatan kerana telah termaktub dalam kontrak insurans perubatan, pengecualian rawatan wabak penyakit," kata beliau.
Semoga kita semua dijauhkan dari wabak H1N1 dan sentiasa akan mendapat perlindungan yang lebih besar dari Maha Pencipta.
Sekian, wasalam.
No comments:
Post a Comment